Senin, 20 Juli 2009

Harga Wanita

Wanita ciptaan mulia. Jika kamu memerhatikan penciptaannya, ia tidak dicipta dari tanah liat yang kotor, tetapi ia adalah makhluk yang mengambil rusuk seorang makhluk yang telah hidup dan mengambil zat-zat syurga. Wanita yang pertama adalah Hawa. Dialah ibu kita.

Melontarkan diri kita semula ke alam itu, ALLAH hakikatnya telah mengangkat taraf dan martabat wanita sebagai satu juzu’ alam yang amat penting. Adam a.s. tinggal di syurga yang penuh dengan kenikmatan. Kita pernah mendengar bahawa barangsiapa yang memasuki syurga, dia akan terpegun dahulu selama lima puluh tahun sebelum mampu berkata apa-apa. Hal ini adalah perumpamaan untuk menunjukkan betapa hebatnya syurga itu. Adam tinggal di dalamnya.

Namun nikmat yang maha hebat itu tidak mampu menyirnakan kesunyian di dalam hati Adam a.s.. Rasa sunyinya hanya hilang apabila dia dianugerahkan Hawa di dalam kehidupannya. Siapakah Hawa? Seorang wanita. Ternyata wanita itu melengkapkan keindahan syurga. Jelas kepada kita, wanita adalah pelengkap kepada kehidupan alam ini.

Sebermula kisah manusia di alam ini, ALLAH telah mengangkat dahulu martabat wanita di mata dunia. Nikmat syurga dan wanita. Adam kesunyian di dalam syurga tanpa Hawa. Maka apakah harga Hawa? Apakah harga wanita?

Saat-saat seluruh tamadun dunia mengeksploitasi wanita sebagai bahan melepaskan nafsu, sebagai lambang kejahatan, sebagai lambang keburukan dan kerendahan taraf, ISLAM muncul mengangkat martabat wanita. ALLAH telah menyediakan satu surah khas untuk wanita di dalam Al-Quran. Surah yang bernama An-Nisa’ membawa maksud wanita. Maka apakah ini kemuliaan atau kehinaan? Apakah harga wanita?

Di dalam Al-Quran dan sunnah, setiap perintah atau hak-hak yang menggunakan ganti nama lelaki, maka perempuan akan turut serta di dalamnya. Bermaksud perempuan akan turut mendapat hak dan perlu melaksanakan perintah tersebut. Namun apabila perintah atau hak-hak yang menggunakan ganti nama perempuan, maka lelaki sesekali tidak termasuk di dalamnya.

Keadaan wanita yang lemah membuatkan ISLAM menganugerahkan wanita pelbagai kelebihan di dalam beramal. Jika diukur kemudahan mendapatkan pahala, keampunan dan rahmat ALLAH, maka wanita adalah yang dilebihkan. Rujuklah pelbagai hadith yang menyatakan tentang amalan-amalan wanita yang diredhai ALLAH. Menyenangkan hati suami sahaja sudah dijanjikan pelbagai ganjaran yang lumayan di akhirat nanti. Malah wanita digugurkan arahan ke medan perang bahkan mereka tetap mendapat pahala yang lebih lumayan dari itu hanya dengan duduk di rumah dan mengurus hal rumah tangga. Apakah ini satu kezaliman?

Di dalam berbuat dosa pula, jika wanita mengikut aturan ISLAM yang sebenarnya maka wanitalah yang paling terhindar dari berbuat dosa. Di dalam ISLAM, wanita tidak digalakkan untuk terdedah kepada masyarakat. Malah wanita digalakkan untuk berada di rumah dan membesarkan anak-anak mereka menjadi hamba yang taat kepada ALLAH dan melayan suaminya. Rumah seakan-akan kubu kuat kepada wanita untuk terhindar dari pelbagai perkara yang menjelekkan di luar. Maka dosa wanita jika mentaati ajaran ALLAH yang sebenarnya adalah yang paling kurang sekali. Apakah ini satu kezaliman?

Masyarakat hari ini adalah masyarakat yang dibesarkan untuk memenuhi tuntutan material. Masyarakat materialisma tidak akan memahami harga wanita yang sebenarnya. Pada mereka, kelebihan itu adalah bila memegang jawatan yang tinggi, kelebihan itu adalah bila mempunyai harta yang banyak, kelebihan itu adalah apabila dipandang agung oleh orang lain. Hakikatnya kelebihan dan kebahagiaan yang sebenar adalah apabila mendapat redha ALLAH dan dihindarkan dari nerakanya. Maka wanitalah yang paling mudah untuk mendapatkannya. Maka apakah harga wanita? Adakah wanita ini dizalimi? Wanitalah makhluk suci yang mulia. Wanitalah makhluk contoh yang diteladani kehidupannya. Wanitalah sumber inspirasi penggegar dunia. Wanitalah pencegah kemunkaran dunia. Wanitalah taruhan keamanan dunia. Bukankah semua manusia dialhirkan dari perut wanita? Bukankah majoriti insan dibesarkan oleh wanita? Maka bukankah peluang beramal, peluang membuat kebaikan, peluang mengubah masyarakat, peluang menyelamatkan ummah, peluang melahirkan pemimpin terletak di tangan wanita?

Marilah kita duduk dan berfikir. Semoga ALLAH meredhai kita.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar